Hikmah Di Sebalik Merahsiakan
Seronok melihat sahabat-sahabat yang sudah melangkah ke hadapan. Ada
yang sudah bertunang. Ada yang sudah bernikah. Masing-masing berusaha
untuk melengkapkan sebahagian daripada agamanya. Namun, harus diingat
adab dalam bertunang dan bernikah.
Cubalah sebaik mungkin untuk merahsiakan pertunangan. Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud;
"Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan"
(Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu 'anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil)
"Kenapa nak perlu sorok pula. Aku buat benda baik. Bertunang. Nak kena heboh kat FB ni. Tukar status 'single' kepada 'engaged'."
Tidak menjadi masalah. Siapalah aku untuk menghalang dan
mengatakannya perbuatan yang salah. Minta fatwa hati masing-masing. Jika
dirasakan wajar untuk menghebahkan pertunangan, maka teruskan.
Namun, harus diteliti hikmah disebalik apa yang nabi ingatkan pada kita.
Kenapa perlu rahsiakan pertunangan?
1) Perlu diingat bahawa bertunang bukanlah sebagai 'lesen' untuk membawa anak dara orang lain 'dating'. Ke hulu ke hilir. Dia tetap bukan mahram bagi kita. Elakkan keluar berdua, melainkan bersama mahram.
2) Bertunang tidak semestinya membawa ke arah pernikahan. Ada sahaja yang bertunang, tetapi putus di tengah jalan. Nauzubillah.
Bayangkan jika kita sudah heboh kepada satu dunia bahawa kita sudah
bertunang. Tidak lama selepas itu, kita putus tunang disebabkan tidak
sehaluan. Bukankah perkara tersebut mengaibkan, kerana pertunangan sudah
heboh? Mungkin silaturrahim antara dua keluarga juga terjejas. Dihasut
dan diapikan oleh orang luar.
Ada hikmah disebalik merahsiakan pertunangan. Jika putus ditengah
jalan, sekurang-kurangnya hanya ahli keluarga sahaja yang tahu. Lebih
kecil mudaratnya.
"Hmm, boleh ke tidak, kalau nak berhubung dengan tunang?"
Tidak menjadi masalah. Perlu berhubung, untuk urusan yang menjurus ke
arah pernikahan. Penting untuk saling berbincang. Tetapi, jangan sampai
berlebih-lebihan!
Jangan biarkan urusan menjadi alasan. Syaitan terlalu pandai dalam tipu daya.
"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh
sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah)
maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)"
(Surah al-A'raaf ayat 201)
Namun, ada juga golongan yang tegas dalam isu ini.
"Kita tak boleh berhubung dengan tunang kita! Kita kena jaga hati
kita. Nanti zina hati. Biar ibu bapa kita sahaja yang uruskan."
Ada benar. Ada salahnya. Terpulang pada diri masing-masing. Mintalah fatwa hati.
Ustazah Fatimah Syarha pernah berkata dalam beberapa forumnya; "Apa itu urusan? Urusan adalah apa yang kita yakin boleh bentangkan hujah-hujah di hadapan Allah swt."
Masih Belum Tiba Masanya
"Hmm, aku masih belum berpunya lagi."
Hanya itu yang dapat kuungkapkan, apabila ditanya. Ramai juga yang mempersoalkan.
Aku percaya, di sebalik segala apa yang berlaku pada diriku, pasti
ada hikmah. Aku sangka sudah berjumpa yang sesuai, namun mungkin bukan.
Aku sangka si dia. Mungkin betul mungkin salah. Sungguh, jodoh itu
rahsia Allah. Kita hanya mampu berusaha. Sedangkan yang sudah bertunang
pun belum pasti bahawa itu adalah jodohnya!
Seseorang itu sememangnya jodoh kita, setelah terlafaznya akad nikah.
Ya, setelah akad nikah. Bukannya setelah bertunang kerana hakikat
pertunangan itu bukanlah suatu jaminan.
Tidak perlu aku cerita kisah hidupku. Dikhuatiri membuka aib pula.
Aku juga bukanlah manusia yang sempurna. Allah sedang memberi peringatan
kepadaku. Persiapkan diri! Maka Allah akan berikan yang terbaik untuk
aku!
Malang bagi manusia yang sibuk menerjah dalam percintaan terlebih
dahulu, tetapi tidak mahu sibuk mempersiapkan diri ke arah pembinaan
baitul muslim.
Justeru, pesan untuk dirku dan sahabat semua, lengkapkan diri dengan
ilmu agama. Memperbaiki hubungan dengan Allah dan manusia. Bagiku,
mempersiapkan diri lebih penting daripada asyik sibuk mencari calon yang
sesuai.
Tidak dinafikan. Kadangkala, pernah juga terlintas dalam fikiran
"Memilih sangat ke aku ni?"
Ya. Aku mengaku. Tapi, kenapa aku memilih?
"Dan Kami
telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk
dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? Dalam pada itu manusia
tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang
tinggi darjatnya di sisi Tuhan"
(Surah al-Balad ayat 10-11)
Nak cari teman wanita? Senang.
Nak cari girlfriend? Senang.
Caranya?
Pastikan anda berduit, dan mempunyai rupa paras, maka anda sudah mempunyai pakej!
Tetapi mencari seorang wanita solehah, untuk dijadikan sebagai zaujah
atau isteri, yang sanggup susah senang bersama-sama. Yang di kala
suaminya mempunyai masalah, dia sentiasa mendokong dari belakang.
Memberikan semangat.
Mungkin sukar.
Aku bukannya mencari isteri untuk bersama-sama dengannya dalam masa
satu hari sahaja, iaitu ketika majlis perkahwinan. Seronok mengambil
gambar bersama isteri di majlis perkahwinan. Boleh 'update status FB' daripada 'single' kepada 'married'. Ramai orang 'like' dan 'comment'. Seolah-olah menjadi selebriti secara tiba-tiba. Seminggu kemudian, sudah sepi.
Maka sebab itu, aku harus memilih! Aku ingin bersamanya hingga ke
syurga. Justeru, bagiku tidak salah memilih, kerana kita ada pilihan.
Buruk atau baik.
Letakkan "Guideline"
"Aku rasa kau ni memilih sangat."
Pernah juga aku ditegur seorang sahabat. Aku mengambilnya sebagai kata-kata semangat. Monolog dalaman. "Bukankah dalam urusan agama kita perlu memilih?"
Aku letakkan 'guideline' yang mungkin bagi sesetengah orang, dirasakan agak melampau. Syadid. Jumud.
"Dan
katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka............"
(Surah an-Nur ayat 24-31)
Sekali lagi aku tegaskan, aku tidak mencari zaujah yang sempurna
kerana diriku juga bukan seorang yang sempurna! Masih banyak khilaf dan
dosa yang dilakukan. Astaghfirullah.
Namun, tidak salah untuk meletakkan penanda aras dalam memilih.
1) Berpakaian muslimah. Tak semestinya seorang ustazah dan mengambil
jurusan agama. Aku lebih cenderung untuk memilih zaujah yang bertudung
labuh, memakai sarung tangan dan stokin, berpakaian longgar dan tidak
nipis. Kenapa? Aku mempunyai fatwa hati yang tersendiri.
Bagi aku, jika dia sudah 'settle' dari segi itu, InsyaAllah
dia sudah faham akan tuntutan Islam dalam menjaga batas aurat. Bermakna
dia sudah mampu menguruskan dirinya dari segi aurat! Maka, lebih mudah
untuk dia fokus kepada hal lain pula, seperti terlibat dalam kerja
dakwah dan masyarakat, serta mendidik anak-anak.
2) Memahami bahawa aku bukanlah hak yang mutlak kepadanya. Aku juga
mempunyai tugas dakwah yang perlu dilaksanakan. Tugas aku sebagai hamba
Allah. Tugas sebagai anak kepada ibu bapa. Tugas dalam masyarakat.
Mungkin aku akan sibuk untuk terlibat dengan kerja-kerja dakwah. Kerana
kita hidup di dunia sebagai seorang da'ie. Jadi, aku memerlukan seorang
isteri yang benar-benar memahami.
Sebenarnya, banyak lagi yang ingin ditulis. Tapi, aku kira, ini
adalah yang paling penting. Tetapi, bukanlah bermaksud yang lain tidak
penting!
Nabi Muhammad saw bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada
rupa paras kamu dan harta kamu tetapi melihat kepada hati-hati kamu dan
amalan-amalan kamu" (Hadith riwayat Muslim)
Namun, jauh disudut hati, aku sentiasa merasakan diriku tidak layak,
memperisterikan seorang zaujah, seperti ciri-ciri di atas. Kenapa? Lihat
sahajalah diriku. Begitu banyak dosa dan kesilapan yang pernah
dilakukan.
Layakkah aku?
Aku lebih cenderung memilih seorang isteri yang sentiasa berusaha
memperbaiki amalannya, daripada memilih seorang isteri yang sempurna.
Takut kecewa di hari kemudian, kerana merasakan diri yang hina ini tidak
layak!
"Dan juga
mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan
berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan
zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya,
dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."
(Surah al-Furqan ayat 74)
Inginkan cinta 'High Standard', kita kena persiapkan diri untuk jadi High Standard!